Pilihlah Sikap Yang Sedarhana Oleh DrMaza.com


Solat Tarawih 20 ataupun 8 rakaat adalah persoalan khilaf dalam kalangan sarjana Islam. Sikap yang sederhana tidak akan menyatakan mana-mana pihak tertolak solatnya hanya kerana lapan ataupun dua puluh. Istilah tarawih itu sendiri hanya digunakan selepas zaman Nabi s.a.w. Dalam hadis digunakan ialah 'قام رمضان' iaitu Qiyam Ramadan.

Para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan,  dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:
مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apapun, bab ini khilaf dalam kalangan ulama. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang  Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid: “Umar telah memerintahkan  Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).

Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka SESETENGAH ulama menganggap riwayat dua puluh sebagai shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat. Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis.

Walau bagaimana pun, sebahagian ulama pula MENERIMA riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh. Maka KEDUA-DUA itu diterima. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat telah menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.

Lebih melampau lagi apabila berbohong dengan menyatakan bilangan 20 rakaat itu diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari. Itu adalah PEMBOHONGAN yang besar.
Kita tidak patut berbalah soal 8 ataupun 20 rakaat itu. Orang yang solat tarawih 8 rakaat bukan semestinya dia berpegang dengan fahaman tertentu, tetapi mungkin juga kerana dia sibuk, keletihan dan seumpamanya. Janganlah kita menolak pahala solat tarawih orang lain atas sikap fanatik dan ekstrimisma kita.

Di Perlis, secara rasmi solat tarawih 8 rakaat dan 3 witir. Pun begitu tidak pernah kita menyatakan salahnya solat tarawih 20 rakaat itu. Bahkan Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut: “Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).

Comments

Popular posts from this blog

Kepimpinan melalui teladan

Penambahbaikan Diri Untuk Kerjaya & Syarikat

PEMBENTUKAN SEMANGAT BERPASUKAN