Siapakah aku ?

Kita selalu merujuk diri kita seagai AKU. Kita berkata, “Ini Aku” , “Ini Aku punya”, “Ini badan Aku”, “Nama Aku si-anu”, dan “Nama bapa Aku si-anu”, dan sebagai nya.

Pernahkah kita terfikir siapakah AKU kita itu? Apakah AKU kita itu? Siapa sebenarnya AKU itu?

Pernahkah anda terfikir siapakah AKU itu? Pernahkah anda terbayang apakah AKU kita itu?

Sebenarnya AKU kita ini adalah ROH kita, bukan badan kasar ini. Badan kasar ini akan mati sekiranya tiada ROH. Sekiranya tiada ROH, badan kita akan hancur binasa.

ROH kita inilah diri kita yang sebenarnya,.ROH ini hidup dan tidak akan mati. ROH inilah juga zat diri kita.
 
ROH ini juga limpahan Yang Maha Hidup iaitu Allah SWT. Allah itu hidup. Dia mempunyai sifat hidup. Maka hidup(ROH) kita adalah limpahan dari hidup Allah itu.

ROH ini juga digelar “bayangan” Yang Maha Hidup itu. ROH itu bayang kepada Yang Empunya Bayang. Yang Empunya Bayang itu ialah Allah, dan ROH kita itu adalah “bayangan” Allah itu. Demikian pendapat-pendapat ahli-ahli Sufi.

Allah itu tidak kelihatan, Maha Ghaib dan tidak ada satupun yang seumpama denganNya. Bagaimana kita dapat tahu adanya sesuatu yang tidak kelihatan dan tidak terperikan. Ibarat angin, kita tidak nampak angin, tetapi bagaimana kita tahu angin sedang bertiup dan angin itu ada? Jawabnya, kita tahu adanya angin itu kerana ada kesannya. Bila daun pokok bergoyang, kita tahu angin sedang bertiup. Kalau kita rasa hembusan, maka itu adalah hembusan angin, sebagainya. Goyangan daun dan rasa hembusan itu adalah tanda-tanda adanya angin. Kita tidak nampak angina tetapi kita tahu adanya angina melalui tanda-tandanya.

Demikian jugalah keadaannya dengan Allah SWT. Kita tidak nampak DIa, tetapi kita rasa dan percaya adaNya melalui tanda-tandaNya. Tanda-tanda Allah itu ialah alam semesta raya ini. Tanda-tanda ini dalam bahasa Arab ialah “ayat”.

Oleh itu, alam semesta raya dan diri kita ini adalah ayat-ayat Allah belaka.

ROH sangat tinggi martabatnya, melebihi peringkat malaikat. Tempatnya disisi Allah yang Maha Tinggi. ROH inilah yang mengenang Allah (zikrullah) seolah-olah kerjanya mengenang Allah sahaja. Seolah-olah makan minumnya “zikrullah” sahaja.

Comments

Popular posts from this blog

Kepimpinan melalui teladan

Penambahbaikan Diri Untuk Kerjaya & Syarikat

PEMBENTUKAN SEMANGAT BERPASUKAN