Perkhidmatan Feri Pulau Pinang

Perkhidmatan feri pertama di Pulau Pinang bermula sejak tahun 1894 oleh seorang pengusaha persendirian, Encik Quah Beng Kee dan saudara-saudaranya dimana reka bentuk feri pada masa itu bukan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini, feri pada masa itu hanya merupakan lanci-lanci kecil yang menggunakan kuasa wap untuk bergerak.

Ianya juga hanya mengangkut penumpang dan barang-barang yang terhad sahaja kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan bermotor  dan lokasi pendaratan adalah diantara Jeti Kedah di Pulau Pinang dan beberapa tempat  di Seberang Perai. Perkhidmatan mengangkut kenderaan bermotor hanya bermula selepas Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) mengambil alih pengurusan dan penyeliaan feri pada Disember 1924.

Pada tahun berikutnya, perkhidmatan ini telah dikendalikan di jeti yang khusus, iaitu Jeti Lebuh Gereja di Pulau Pinang dan Jeti Mitchell di Butterworth. Pada masa itu, hanya terdapat satu feri berkuasa wap bernama “Seberang” yang dibina oleh Lembaga Pelabuhan Singapura sahaja yang beroperasi untuk memuatkan penumpang pejalan kaki dan kereta.

Sejak perkhidmatan feri diperkenalkan, sambutan daripada penduduk-penduduk sekitar Pulau Pinang dan Butterworth semakin ramai. Justeru, jeti-jeti yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan penduduk menyebabkan LPPP terpaksa membesarkan jeti-jeti berkenaan, dan penambahan lagi dua buah feri yang lebih besar iaitu 'Tanjung' dan 'Kulim' dengan pergerakan operasi pada kadar setengah jam satu feri.

Pada tahun 1983, sebuah feri yang lebih besar lagi telah dibeli dan diberi nama Bagan digunakan untuk mengangkut penumpang-penumpang yang semakin bertambah. Meskipun begitu, pada tahun 1941 hingga 1945, perkhidmatan feri telah lumpuh kerana dilanda perang dunia kedua, ketika tentera Jepun menjajah Tanah Melayu. 

Selepas perang dunia ke-2, perkhidmatan feri telah dipulihkan semula pada tahun 1945 oleh pentadbiran tentera British dengan penggunaa tongkang yang mempunyai dek dan ditunda dengan lanci kerana feri - feri yang sedia ada telah dimusnahkan semasa peperangan. 

Setelah LPPP diberkan nafas baru pada April 1946, lembaga ini telah mengambil alih perkhidmatan feri ini dengan penambahan 4 buah kapal perisal pendarat pihak tentera British yang telah diubahsuai untuk menyediakan kemudahan tempat duduk bagi penumpang.

Jumlah pengangkutan bermotor yang dikendalikan telah meningkatkan dengan pesatnya daripada 247,000 buah kenderaan pada tahun 1946 bertambah kepada 717,000 buah pada tahun 1956, dan meningkat lagi ke paras 814,000 buah pada tahun 1958. Memandangkan permintaan untuk perkhidmatan feri kian meningkat saban tahun, maka satu perancangan telah dilakukan untuk memodenkan perkhidmatan feri secara keseluruhan pada tahun 1953. Merentasi tahun 1959, feri-feri yang lama dan uzur telah digantikan dengan 5 buah feri baru yang boleh memuat dan memunggah di kedua-dua hujung feri dalam kategori kelas Aman.

Disebabkan permintaan yang semakin bertambah, pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membeli sebuah feri lagi pada tahun 1965 dan dua buah feri lagi pada tahun 1971. Dengan 8 buah feri ini, perkhidmatan feri ini telah ditingkatkan dengan sebanyak 1699 400 buah kenderaan pada tahun 1968 berbanding hanya 776 500 buah pada tahun 1959. Manakala pada tahun 1971, peningkatan terhadap penggunaan perkhidmatan feri ini bertambah lagi kepada 3098 500 buah kenderaan dan 15 juta penumpang pejalan kaki.
Permintaan yang semakin meningkat telah memaksa pihak pentadbiran feri, SPPP menjalankan satu kajian pada tahun 1968 untuk menganalisis tingkatkan kedayaan perkhidmatan feri ini. Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa 8 buah feri dan pangkalan feri yang sedia ada telah mencapai had kedayaan mengendalikan kenderaan maksimum.

Pada Jun 1971, SPPP telah melancarkan Projek Pengeluasan Feri di bawah Rancangan Malaysia ke-2 dengan peruntukan sebanyak $ 17.5 juta. Projek ini melibatkan pembinaan terminal feri yang mampu mengendalikan 2 feri pada masa serentak. Terminal baru ini terletak bersebelahan dengan terminal lama untuk memudahkan kawalan trafik dan kecekapan operasi. Pangkalan feri dua tingkat ini dirasmikan pada 16 Januari 1977 dimana terminal feri ini juga berupaya melakukan kerja-kerja pemunggukan kenderaan dan penumpang pejalan kaki sekaligus. Pihak SPPP turut membeli 3 buah feri baru yang direka bentuk khas untuk pangkalan baru ini. Feri-feri ini akan digunakan untuk mengangkut kenderaan sahaja di dek atas dan bawah. Dengan adanya feri-feri ini, pihak SPPP berharap dapat mengurangkan masalah trafik yang semakin meruncing.


Pada masa kini, pelabuhan Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan feri mulai jam 5.30 pagi sehingga 1.00 pagi menghubungkan Georgetown di bahagian pulau dan Butterworth di tanah besar. Perkhidmatan feri ini beroperasi dengan lapan buah feri. Feri-feri tersebut yang membawa penumpang pejalan kaki dan kenderaan di dek atas dan kenderaan di dek bawah tersebut berlepas dari terminal setiap lapan minit pada waktu puncak dan frekuensinya berkurangan menjelang tengah malam. Perjalanan feri mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer.

Comments

Popular posts from this blog

Kepimpinan melalui teladan

Penambahbaikan Diri Untuk Kerjaya & Syarikat

PEMBENTUKAN SEMANGAT BERPASUKAN