Salah siapa ?

Pada suatu masa dahulu ada dua sahabat bernama Tan dan Tin yang ingin mencari pengalaman hidup telah merantau jauh bertahun - tahun lamanya meninggalkan kampung halaman dan akhirnya mereka tiba di sebuah hutan yang agar tebal dan besar. Setelah sekian lama meredah sambil melimbas parang untuk membuka laluan menerusi dedahan pokok, lelalang, reranting daun, Tan yang agak ketakutan dengan suasana sekeliling bersuara agar mereka mencari tempat untuk melepaskan kepenatan dan menempuh hari gelap yang hampir tiba. Namun, Tin mencadangkan agar mereka meneruskan perjalanan untuk seketika lagi sebelum berhenti kerana percaya tempat perhentian adalah mudah dicari.

Tanpa mereka sedari hari sudah mulai gelap dan keadaan penglihatan menjadi samar-samar. Mereka mulai resah dan tercari-cari tempat untuk berlindung dan berehat namun kesamaran dan ketebalan hutan telah menyukarkan lagi penglihatan dan pencarian mereka sehingga beberapa kali mereka tersepak jatuh. Kekecewaan dan kekesalan mulai menyelubungi sanubari mereka lalu terkeluarlah suara menyesal hingga saling tuduh-menuduh di antara satu sama lain.

Tan menyalahi Tin kerana enggan mendengar nasihatnya agar mereka mencari tempat perlindungan sebaliknya meneruskan perjalanan mereka. Tin menolak dengan alasan ketika itu suasana masih terang dan ketakutan Tan jelas terpacar. Mereka berterusan tuduh-menuduh dan bertegang leher dengan alasan masing - masing tanpa sebarang usaha mencari tempat perlindungan.

Perjalanan kehidupan yang tiada penghujungnya ini seharusnya ditempuh dengan perancangan, kesabaran dan ketenangan. Tiada kerugian seandainya kita mendengar pandangan dan cadangan orang lain bagi memperbetulkan keadaan atau diri sebelum memutuskan arahtujunya ketika menempuh pelbagai rintangan dan dugaan kehidupan seharian atau di tempat kerja walaupun sudah berpengalaman bertahun - tahun lamanya.

Keengganan menerima kesalahan sendiri sememangnya pelik tapi itulah hakikatnya yang sering atau selalu terjadi hinggakan menafikan hak pihak yang benar, yang teraniaya akhirnya. Pelbagai tindakan dan percakapan diusahakan semata - mata untuk menutupi 'kepincangan'nya dan memperlihatkan 'kesempurnaan'nya.

Renungilah......

Comments

Popular posts from this blog

Kepimpinan melalui teladan

Penambahbaikan Diri Untuk Kerjaya & Syarikat

PEMBENTUKAN SEMANGAT BERPASUKAN