Jalan Yang Mana Satu ?

Jalan - jalan kehidupan terbentang, terbuka luas di hadapan, banyak dan berliku - liku, menanti dan ternanti untuk dipilih atau terpilih bagi penyambungan perjalanan yang terus dan seterusnya. Jalan yang dipilih, terpilih, dicari dan tercari iaitu jalan kebenaran, jalan ketenangan, jalan kebahagiaan, jalan yang tiada sesat atau tersesat. Tiada yang boleh mengarah, menyuruh, memaksa melainkan terletak, terpulang pada diri sendiri, tanyalah 'Kemanakah aku? Mahu kemanakah aku?'. Yang lain hanya dapat membimbing, membantu, memapah, membangun sebagai panduan dan tunjukajar bagi menghadapi, menempuh perjalanan yang penuh dengan dugaan, godaan, gangguan dan cubaan.

Tiada salah mendengar, melihat, mempelajari, mengambil pedoman, panduan, tunjukajar dari yang lain. Pengalaman mereka, pandangan mereka, percakapan mereka dapat dijadikan peralatan, persiapan diri menyahut pelbagai seruan, pujukan, ajakan dugaan perjalanan namun pilihan tetap jalannya sendiri, tersendiri. Mengikut, terikut jalan perjalanan yang lain, secara rela, sukahati, paksa, terpaksa, dukacita akan menimbul pelbagai kesukaran yang kekadang tiada penjelasan, pemahamannya langsung. Maka tersandarlah, terdamparlah di tepian jalan, dipukul ganas gelombang kehanyutan, kehancuran, kemusnahan, kerugian, kelalaian. Ditolak, dilambung, dihempas ke semua arah. Hilang sudah pegangan, panduan tali kehidupan.

Tangan - tangan simpati melambai-lambai minta dipegang, dicapai, disambut kuat agar dapat membantu, menolong menarik keluar dari ribut ganas yang melanda. Tiada salah menerima, menyambut pertolongan, bantuan dari tangan - tangan yang ingin, hendak menolak, menarik, meletak ke jalan yang lurus, benar, tiada sesat dan tersesat. Penolakan bantuan tangan - tangan simpati akan melemaskan, meletakkan jatuh tenggelam di dasar kegelapan terkapai - kapai mencari, tercari penyelesaian.

Oleh itu, fikirlah secara tenang dan sabar di dalam mencari jalan - jalan kehidupan yang terus dan seterusnya sehingga tiba di penghujung jalan. Pengakhir jalan. Jalan mati. Maka letaklah segala peralatan. Tinggallah segalanya tanda tiada lagi pengembaraan perjalanan kehidupan.

Usia, pengalaman bukan ukuran di dalam menentukan kehebatan memilih jalan - jalan kehidupan. Kekadang sudah berusia, berpengalaman berabad tapi masih tersalah memilih jalannya. Masih tenggelam lemas dipukul badai. Tiada langsung pilihan, kehendak menukar, memilih kembali ke jalan lurus, benar. Jauh sekali mendengar, mengharap, mencapai tangan - tangan simpati, malah memekak dengan angkuh dan bongkak.

Maka, carilah jalannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kepimpinan melalui teladan

Penambahbaikan Diri Untuk Kerjaya & Syarikat

PEMBENTUKAN SEMANGAT BERPASUKAN