Air Berkarbonat SUCO
Masih segar diingatan bagaimana aku dan
sahabatku, Zamri melibatkan diri dengan air berkarbonat 'SUCO' yang telah
membuka pintu perniagaan di dalam bidang ini
untuk diterokai sekitar tahun awalan 2000 termasuk pembeliannya,
pemjualannya, pemasarannya, pengiklanannya sehingga ke komunikasinya
bersama pelanggannya atau penjualnya.
Kami memulakan penjualan promosi pertamanya di
pasar malam Taman Tun Sardon dan sejak itu kami berterusan setiap petang hingga
ke tengah malam menjualnya di semua pasar malam di dalam Pulau Pinang. Walaupun
kepenatan bekerja di siang hari dan berterusan menyambung mempromosikan SUCO dimalam hari,
dari pemunggahan naik turunnya ke dalam van hingga ke penjualannya sememangnya
amat meletihkan, namun aku tetap berusaha untuk memajukan dan menaikkan namanya
di dalam pasaran tempatan meskipun tidak setanding dengan minuman berkarbonat yang telah maju dan
terkenal dipasaran.
Aku tersenyum apabila mengenangkan bagaimana
kami diherdik, dikutuk dan dihalau ketika proses penjualan dan promosinya sekitar
pasar - pasar malam, kedai - kedai runcit, kedai - kedai makan dan orang
perserorangan yang berminat untuk menjadi agennya. Tidak kurang juga kata - kata
cemuhan dan penjauhan diri oleh sanak saudara dan kawan - kawan yang
beranggapan aku kehilangan pekerjaan kerana saban hari mukaku hanya ditemui di pasar malam.
Van buruk kami yang sentiasa sendat dengan karton -
karton berisi air minuman SUCO, menderum
ke sana ke mari hingga ke Perlis untuk mempromosikan SUCO. Kekadang kami berulang alik ke Selangor untuk
menambahkan stoknya. Pengiklanan gambar berwarna yang seperti diatas adalah
nukilan idea kami berdua di dalam usaha penyebaran SUCO sekitar wilayah utara semenanjung.
Akhirnya SUCO mendapat pasarannya tersendiri dan
penjualannya mulai meningkat seharian dan permintaan stok dari pelbagai pihak
mulai kami terima tanpa henti - henti sehinggakan kami tidak mampu lagi untuk
menjualnya di pasar malam. Kami teruja melihat aliran wang tunai yang
hamper mencecah ribuan ringgit. Kami mulai menukar strategi perniagaan dengan
menambah bilangan agen di sekitar wilayah utara dan berusaha memberi
peluang perniagaan ini kepada mereka yang berminat.
Kami mulai berkira - kira untuk membuka pejabat
kami di Ayer Hitam Pulau Pinang dan menggaji beberapa orang pekerja untuk mengembangkan
lagi perniagaan ini. Namun akibat kesibukan pekerjaan lain yang semakin
meningkat dan memerlukan komitmen yang maksima maka perniagaan air minuman
berkarbonat SUCO ini aku serahkan sepenuhnya pada Zamri untuk menguruskan sendirian perjalanan perniagaan ini atau bersama dengan rakan kongsinya yang baru.
Comments